Sabtu, 4 Ogos 2012

Seladang tiada pilihan


HANYA tinggal satu piala sahaja iaitu Piala Malaysia. Perak tiada pilihan melainkan berusaha mendapatkannya bagi memastikan sasaran Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang mahukan satu gelaran musim ini tercapai.
Justeru itu Perak akan menggempur habis-habisan setiap pencabarnya bermula dengan cabaran dalam kumpulan C apabila kancah Piala Malaysia 2012 bermula 22 Ogos ini.

“Kami tiada pilihan lain melainkan berusaha mendapatkan Piala Malaysia kerana tinggal satu kejohanan untuk musim ini.
“Justeru setiap pemain perlu meningkatkan usaha dan kesungguhan dalam kempen kali ini,” kata kapten Perak, Shahrulnizam Mustapa.

Malah pemain tengah itu menyimpan hasrat memperbaiki pencapaian sekadar mara ke suku akhir tahun lalu apabila disekat oleh Selangor.

“Memenangi piala satu hal tetapi jika boleh setidak-tidaknya kami mahu memperbaiki pencapaian tahun lalu,” katanya.
Begitupun Shahrulnizam yang lebih dikenali sebagai Arul sedar ia tidak semudah diungkapkan jika dilihat pada pencabar dalam kumpulan itu.

Katanya, peluang setiap pasukan seimbang kerana masing-masing memiliki perwatakan tersendiri kerana Negeri Sembilan adalah selaku juara bertahan trofi unggul itu. Sime Darby juga tidak kurang hebat kerana layak final Piala FA lalu manakala kemampuan Felda United juga sudah terbukti dalam kancah Liga Super lalu.
“Cabaran dalam kumpulan C tidak mudah kerana semua pasukan tampil dengan tekad mencatat pencapaian baik dalam piala berprestij ini.

“Malah kempen Piala Malaysia sering menyaksikan kejutan berlaku, sehubungan itu saya jangka akan berlaku lagi kejutan cuma tidak tahu dalam kumpulan mana,”katanya.

Sharulnizam yang baru menyertai semula latihan sekembali dari tugasan bersama pasukan pilihan kebangsaan kendalian Ong Kim Swee ke Piala Java yang dibatalkan berkata’ berdasarkan sasaran Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang mahukan satu gelaran musim ini maka Piala Malaysia adalah pentas terakhir pasukan Kejor Yob Kejor memburu impian itu.

Arul yakin jurulatih Jang Jung pasti mempunyai pendekatan dan corak baru untuk menyukarkan pasukan lain kerana belum tahu corak yang diterapkan jurulatih itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan