Sabtu, 4 Ogos 2012

Kedah digeruni Penyu


BUKAN juara berganda, Kelantan atau juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tapi Kedah yang digeruni kapten Terengganu, Marzuki Yusof dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia.
Pasukan yang bakal beraksi dalam Liga Perdana musim depan, Kedah dilabel sebagai penghalang utama Terengganu merebut dua tangga teratas kumpulan ‘maut’ itu.

Menurut pemain berusia 31 tahun yang kini pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut selepas dibedah awal tahun ini, Terengganu tidak pernah gentar berdepan juara Liga Super dan Piala FA musim ini, Kelantan.
“Walaupun Kelantan cemerlang sepanjang musim ini, saya rasa mereka juga risau apabila diundi dalam kumpulan sama kerana tidak memiliki rekod yang baik apabila bertemu Terengganu sejak beberapa tahun lalu.

“Begitu juga dengan ATM yang mempunyai ramai bintang namun kami anggap mereka sebagai pasukan biasa saja walaupun muncul juara Liga Perdana dan bakal beraksi dalam Liga Super musim depan,” katanya.

Marzuki yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim Rumah Tunas Harapan Daril Hilmi anjuran DSK Resources & Marine Sdn Bhd di Kuala Terengganu kelmarin, berkata ATM juga pasti belum lupa kekalahan saingan Piala FA kepada Terengganu awal tahun ini.
“Kedah bagaimanapun mempunyai cerita berbeza kerana kami sering tumpas kepada mereka terutama apabila bertemu dalam pertandingan kalah mati dan ini yang saya bimbangkan apabila mengetahui kami berada dalam satu kumpulan dengan mereka.

“Amat sukar buat kami menewaskan Kedah sebelum ini dan perlu mencari jalan untuk mengakhiri ‘badi’ kekalahan kepada mereka jika mahu mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan