Rabu, 22 Ogos 2012

Kaji persiapan B-23


Ong Kim Swee
Ong Kim Swee
JURULATIH Ong Kim Swee akan mengemukakan cadangan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya mengkaji semula penyertaan pasukan Harimau Muda A di Liga Singapura (Liga-S) tahun depan.
Langkah diambil pengendali negara itu bagi merangka persiapan terbaik skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk menggalas misi mencipta hatrik kejuaraan Sukan Sea Myanmar 2013.

“Satu-satunya tugas besar Harimau Muda tahun depan adalah Sukan Sea dan kami perlu membuat persiapan awal. Saya akan fikir sama ada pasukan ini perlu beraksi dalam Liga Singapura atau menyertai liga lebih kompetitif selepas ini.
“Sama ada kita membuat persiapan di luar negara, perkara ini akan dibincangkan dengan FAM terlebih dulu. Kalau mahu bermain di liga Eropah, kita perlu membuat keputusan cepat kerana mereka tidak akan menerima penyertaan kita ketika liga sudah bermula pada Januari,” katanya.

Harimau Muda A membuat penampilan pertama dalam Liga-S tahun ini hasil kerjasama FAM dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS). Perjanjian itu menyaksikan Harimau Muda A beraksi dalam Liga-S manakala Lions XII menyertai Liga Malaysia bagi tempoh lima tahun.

Selain itu Kim Swee juga merancang membawa masuk pemain B-23 dari pasukan luar untuk menyertai Harimau Muda A jika mendapat persetujuan FAM.
Antara pemain yang berada dalam senarai awal adalah Rozaimi Abd Rahman dari Sabah, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (Selangor PKNS) dan Ashri Chuchu (Sarawak).

“Saya akan berbincang dengan FAM supaya menawarkan kontrak kepada pemain ini untuk menyertai Harimau Muda A tahun depan. Jika mendapat persetujuan semua pihak, ini akan memudahkan perancangan saya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan