Isnin, 20 Ogos 2012

'Misi 33' tetap membara



ROZAIMI (kanan) akan menguatkan jentera serangan Selangor dalam saingan Piala Malaysia 2012.


ATAS kertas, kejayaan Selangor muncul juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali setakat ini sememangnya sukar dipintas mana-mana pasukan.
Selain pencabar terdekat, Singapura (24 kali) yang kembali mewarnai saingan menerusi pasukan Lions XII kali ini, pasukan Perak juga dilihat antara pencabar utama Gergasi Merah dalam carta koleksi Piala Malaysia apabila muncul juara sebanyak tujuh kali setakat ini.
‘Tenggelam’ ditelan sejarah, kemarau Gergasi Merah bagi menjulang Piala Malaysia begitupun berterusan sebaik kali terakhir muncul juara pada edisi 2005 selepas menewaskan Perlis 3-0 pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil menerusi ledakan hatrik penyerang import, Bambang Pamungkas.
Selepas itu, hasrat Merah Kuning sering kali dinafikan oleh pasukan lain biarpun pada awalnya dilihat sebagai antara pasukan pilihan bergelar juara.
Pencapaian terbaik Gergasi Merah dalam beberapa tahun kebelakangan ini hanyalah ketika berjaya mara ke pentas final edisi 2008, namun mereka tumpas 2-3 kepada juara trebel, Kedah pada perlawanan akhir.
Bermula 2006, perjalanan mereka yang ketika itu dibimbing jurulatih, Dollah Salleh terkandas pada peringkat kumpulan biarpun berkongsi 10 mata dengan pasukan di tangga kedua, Terengganu hasil perbezaan jaringan.
Skrip yang lebih kurang sama juga menimpa skuad Merah Kuning dalam beberapa musim berikutnya apabila perjalanan mereka terhenti setakat suku akhir sebaik ditewaskan Terengganu dengan agregat 2-3 dan 4-5 (2007 dan 2009) selain tewas kepada Kelantan dengan agregat 3-0 pada peringkat yang sama bagi edisi 2010.
Tahun lalu, ‘misi 33’ Selangor sekali lagi tergendala apabila tersekat pada peringkat separuh akhir sebaik tumpas menerusi agregat 1-4 kepada Terengganu.
Ketika itu, kem Gergasi Merah dilanda gelora selepas K. Devan mengambil keputusan ‘angkat kaki’ ketika saingan Piala Malaysia masih berlangsung sehingga ‘baton’ selaku jurulatih terpaksa diambil alih oleh P. Maniam.
Justeru, edisi ke-46 kali ini dilihat se- bagai medan terbaik buat Selangor menamatkan penantian selama tujuh tahun mendakap Piala Malaysia.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin juga menegaskan betapa misi memburu Piala Malaysia buat kali ke-33 tidak pernah terpadam buat Merah Kuning.
Sedar ia bukan satu tugas yang mudah, Hamidin begitupun kekal optimis dengan kemampuan Gergasi Merah melakar kejutan kali ini.
“Selagi Piala Malaysia belum dalam genggaman Selangor, selagi itulah ‘misi 33’ tetap membara buat kami.
“Kami hanya menunggu masa mengulanginya, jadi mudah-mudahan misi itu terlaksana kali ini,” katanya kepada Kosmo!
Kehebatan pasukan lain juga kata Ha- midin, tidak boleh dipandang sebelah mata oleh anak-anak buah Irfan Bakti jika enggan ‘berputih mata’ kali ini.
“Justeru, setiap perlawanan perlu ditempuh satu demi satu dengan syarat ia perlu berakhir dengan kemenangan,” kata Hamidin.
Pada edisi kali ini, Gergasi Merah diundi dalam Kumpulan D bersama Sarawak, Pahang dan pasukan berstatus kelab, T-Team. Mereka akan berkunjung ke Kuching berdepan Bujang Senang dalam aksi pembuka tirai pada 22 Ogos depan.
Mengulas lanjut, Hamidin menjelaskan bahawa persiapan Selangor musim ini juga bermula awal apabila berjaya mendapatkan khidmat penyerang berbisa, Rozaimi Abdul Rahman dari Sabah menerusi pinjaman baru-baru ini.
Selain Rozaimi jelas beliau, pihaknya turut meminjam pemain tengah USM, S. Veenod pada saingan kali ini.
“Untuk makluman, jersi no. 33 yang dipakai Rozaimi sebenarnya kebetulan dengan ‘misi 33’ yang signifikan dengan perjuangan Selangor kerana angka tersebut dikhaskan kepada mana-mana pemain pinjaman untuk kesemua pasukan yang bertanding kali ini.
“Jadi, saya harap kehadiran Rozaimi dapat membantu Selangor menamatkan penantian tersebut,” jelasnya.
Nasib malang begitupun menimpa kapten, Amri Yahyah dan Bunyamin Omar yang terpaksa melupakan saingan awal Piala Malaysia kali ini selepas masing-masing digantung tiga perlawanan dan didenda RM1,500 seorang gara-gara mengaku bersalah atas kekasaran melampau terhadap pemain import Kelantan, Mohammad Ghaddar pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, 29 Jun lalu.
Tanpa Amri, tanggungjawab kapten dalam ketiga-tiga perlawanan itu dijangka digalas oleh P. Gunalan.
Sentuhan penyudah penyerang import, Bosko Balaban juga dilihat mampu menjelmakan sesuatu buat Merah Kuning manakala kreativiti arkitek berbakat, Safiq Rahim berupaya mengundang waspada mana-mana pasukan.
Selain itu, sumbangan beberapa pemain lain seperti Razman Roslan, Asra- ruddin Putra Omar, K. Gurusamy, Azidan Sarudin dan seorang lagi tonggak import, Ramez Dayoub juga tidak boleh dilupakan sebegitu sahaja.
Apa yang pasti, ‘magis’ yang dimiliki Irfan Bakti ketika membantu Terengganu muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu jelas benar-benar ditagih kali ini.
Biarpun Selangor ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan kedua dalam saingan Piala FA musim ini, kredibiliti Irfan Bakti yang berjaya membantu Gergasi Merah menyambar slot Piala AFC musim depan sebaik menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga musim ini sewajarnya dihormati.
“Ketika bersetuju mengendalikan Sela- ngor, saya sedar ia tanggungjawab yang besar berdasarkan reputasi pasukan ini yang bagaikan seolah-olah Manchester United.
“Jadi, saya harap mampu membantu Selangor mendapatkan sekurang-kurangnya satu piala musim ini,” jelas Irfan Bakti pada permulaan musim ini.
Selangor sebelum ini mengharungi beberapa perlawanan pemanas badan menjelang sepak mula Piala Malaysia termasuk ketika seri 1-1 dengan Kedah pada 12 Ogos lalu.
Persoalan sama ada Gergasi Merah berjaya memastikan ‘misi 33’ berjaya direalisasikan ataupun sekali lagi tertangguh kali ini, sama-sama kita tunggu dan lihat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan