MANCHESTER: Pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand menafikan dakwaan salah laku yang dikenakan Persatuan Bola sepak Inggeris (FA) berikutan komennya di laman Twitter pada penghujung perbicaraan John Terry.
Keputusan membebaskan pertahanan Chelsea dan England, Terry daripada dakwaan melemparkan kata-kata berbaur perkauman terhadap adik Ferdinand, Anton menyebabkan Rio memberi reaksi balas menerusi akuan Twitter dengan menggambarkan pertahanan Chelsea dan saksi pembela, Ashley Cole sebagai “choc-ice”. Perkataan terbabit bermakna “hitam di luar, putih di dalam,” dan ditujukan kepada keterangan Cole di mahkamah yang mendakwa tidak pernah mendengar Terry melakukan sebarang tindakan bersikap perkauman kepada Ferdinand di Loftus Road, Oktober lalu.
Ferdinand didakwa pada Isnin dan hingga petang Khamis (semalam) belum memberikan maklum balas kepada FA.
Satu kenyataan menerusi laman web FA menyatakan: “Pemain Manchester United, Rio Ferdinand hari ini menafikan dakwaan FA kerana salah laku berhubung komennya di Twitter.
“Dakwaan bahawa pemain terbabit bertindak dengan cara yang tidak wajar atau memburukkan permainan dengan membuat komen termasuk merujuk kepada asal-usul etnik, warna kulit atau bangsa.
“Pemain terbabit sudah memohon perbicaraan peribadi.” Awal bulan ini, Terry, 31, didapati tidak bersalah selepas perbicaraan lima hari di Mahkamah Majisterit Westminster namun selepas itu FA pula mendakwa Terry terhadap kes sama. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan