HARRISON (Amerika Syarikat): Gareth Bale dan Gylfi Sigurdsson menjaringkan gol pada babak kedua untuk mengetuai kelab Inggeris, Tottenham mengatasi New York Red Bulls, 2-1, kemenangan tunggal jelajah pramusim di Amerika Syarikat (AS), awal pagi semalam.
Kemenangan itu membolehkan kelab yang menduduki tangga keempat Liga Perdana musim lalu merangkul Piala New York kali kedua dalam tempoh tiga tahun di Big Apple. Mereka sebelum ini menundukkan Red Bulls, 2-1 pada perlawanan Cabaran New York 2010.
Sigurdsson memecah kebuntuan pada minit ke-64 ketika kedudukan terikat 1-1 selepas mengatasi pertahanan Red Bulls, Markus Holgersson di bahagian kiri. Dia merembat kencang ke penjuru kanan gol melepasi jangkauan penjaga gol Red Bulls, Bill Gaudette.
Bale yang beraksi di bahagian serangan bukannya di tengah, menyamakan kedudukan pada minit ke-54 apabila melonjak tinggi mengatasi pertahanan Dax McCarty untuk menanduk masuk bola dari sepakan sudut.
Sepakan penalti Kenny Cooper, penjaring 13 gol liga AS membolehkan Red Bulls mendahului 1-0 pada minit kelapan. Penalti dihadiahkan selepas pertahanan, Jan Vertonghen menjatuhkan bekas pemain tengah Everton, Tim Cahill dari Australia dalam kotak penalti.
Cooper menyempurnakan sepakan itu dengan rembatan leret ke penjuru kiri namun itulah satu-satunya percubaan Red Bulls yang hambar pada babak pertama.
Spurs bertindak lebih baik, melakukan lima percubaan namun hanya dua percubaan tepat. Satu daripadanya diselamatkan Gaudette, yang menepis sepakan kencang Bale melepasi palang pada minit ke-12.
Cahill yang dibeli Red Bulls minggu lalu, menghabiskan lapan musim di Liga Perdana, menjaringkan 68 gol dalam 278 penampilan bersama Everton.
Penyerang Red Bulls, Thierry Henry direhatkan selepas mengharungi jadual ketat.
Dalam dua perlawanan pertama ketika jelajah, Tottenham seri 1-1 dengan Los Angeles Galaxy sebelum seri tanpa jaringan dengan pencabar Inggeris, Liverpool. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan