Rabu, 11 Julai 2012

Xuerui sisihkan Shixian


SHANGHAI: China mengetepikan juara perseorangan Sukan Asia, Wang Shixian daripada pasukan badminton Olimpik mereka sebaliknya memilih pemain berbakat berusia 21 tahun, Li Xuerui sebagai wakil ketiga dan terakhir dalam acara perseorangan wanita pada temasya Sukan Olimpik London.
Perebutan bagi tempat terakhir antara bekas pemain nombor satu dunia, Shixian dan Xuerui mencetus spekulasi hangat media China dalam beberapa minggu ini, dengan dua tempat utama diisi juara dunia dan pemain nombor satu, Wang Yihan dan Wang Xin.

Shixian, yang pernah dianggap sebagai kuasa dominasi badminton China selepas meraih pingat emas di halaman sendiri pada temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, diatasi oleh rakan sepasukannya dalam tempoh setahun setengah lalu berikutan masalah kecergasan.
Xuerui pula bertindak cemerlang musim ini, mengejutkan Yihan untuk merangkul kejuaraan Seluruh England di Birmingham, Mac lalu sebelum melakar 30 kemenangan berturut-turut yang berakhir bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada kejutan lain dalam pasukan itu yang dinamakan semalam.

Pemain nombor satu dunia dan penyandang juara Olimpik, Lin Dan akan mengetuai cabaran perseorangan lelaki, dibantu pemain nombor tiga dunia Chen Long dan pemain ranking keempat Chen Jin.
Cai Yun dan Fu Haifeng, yang meraih pingat perak pada temasya Olimpik Beijing, akan mengetuai acara beregu lelaki di Arena Wembley.

Juara beregu wanita Olimpik, Yu Yang akan meneruskan rentak memenangi kejuaraan dunia bersama gandingannya Wang Xiaoli. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan