COLORADO SPRINGS (Amerika Syarikat): Penjaga gol, Hope Solo yang menjadi sandaran penyandang juara skuad bola sepak wanita Olimpik Amerika Syarikat (AS) hanya diberikan amaran selepas ujian dadah ke atasnya disahkan positif.
Agensi Anti-Doping AS (USADA) mengumumkan hukuman itu semalam, 16 hari sebelum skuad AS membuka kempen Olimpik menentang Perancis di Glasgow, Scotland.
Hope, 30, disahkan positif canrenone dalam sampel ujian air kencing yang dilakukan secara rambang pada 15 Jun lalu.
Namun canrenone dikategorikan sebagai bahan terlarang khusus sekali gus membolehkan hukuman kepada atlet boleh dikurangkan jika bahan itu ditemui dalam sampel air kencing.
Menurut USADA, Hope mengambil ubat atas nasihat doktor bagi menyembuhkan penyakit terapeutik dan ubat itu menyebabkan keputusan yang bertentangan.
“Saya mengambil ubat atas nasihat doktor peribadi kerana masalah sebelum datang haid. Saya tidak tahu bahan itu ada dalam air kencing saya,” katanya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan