STANFORD (Amerika Syarikat): Serena Williams, yang merangkul kejuaraan perseorangan Grand Slam ke-14 di Wimbledon Sabtu lalu, bersedia bertukar angin minggu ini apabila turun mempertahankan kejuaraan WTA di Stanford.
Penganjur berkata pemain pilihan utama itu akan memulakan kempennya di Stanford hari ini, memberikannya rehat yang mencukupi selepas mengalahkan pemain Poland, Agnieszka Radwanska pada perlawanan akhir perseorangan wanita di gelanggang rumput Kelab All England.
Serena, yang turut bergabung dengan kakaknya Venus untuk memenangi kejuaraan beregu wanita, menjalani dua pembedahan kaki dan darah beku dalam paru-parunya pada 2010-2011 sebelum kembali ke gelanggang tenis lebih setahun lalu.
Dia teruja untuk meneruskan rentak kemenangannya di Wimbledon pada kejohanan yang berlangsung di universiti California itu.
“Beri saya peluang melakukan satu perkara dalam satu masa,” katanya. “Saya tidak pernah berasa lebih bagus seperti ini.” Serena, yang mendapat kemenangan percuma sebagai seorang daripada empat pilihan utama, akan berdepan sama ada pemain wild card AS, Nicole Gibbs atau pemain Thailand dari pusingan kelayakan, Noppawan Lertcheewakarn bagi pertembungan pusingan kedua.
Pemain Amerika berusia 30 tahun itu, yang melonjak ke tangga keempat dalam ranking dunia, akan kembali ke London hujung bulan ini apabila pertandingan tenis Sukan Olimpik 2012 diadakan di Wimbledon bermula 28 Julai, sehari selepas upacara pembukaan.Disebabkan kejohanan Stanford tersepit antara Wimbledon dan Sukan Olimpik, ramai pemain menarik diri.
Pemain Perancis, Marion Bartoli, juara 2009 adalah pilihan kedua, diikuti pemain Slovakia, Dominika Cibulkova dan Jelena Jankovic dari Serbia.
Serena menundukkan Marion 7-5, 6-1 pada final di Stanford tahun lalu.
Antara yang menarik diri Angelique Kerber (Jerman), Sabine Lisicki (Jerman), Svetlana Kuznetsova (Russia), Nadia Petrova (Russia), Peng Shuai (China) dan Christina McHale (AS). - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan