Isnin, 23 Julai 2012

Arsenal mungkin jual Van Persie

Arsene Wenger menegaskan Arsenal mungkin akan menjual penyerang Belanda, Robin van Persie sebelum 18 Ogos depan.

Pengakuan itu dibuat pengurus The Gunners ketika kelab itu sedang membuat persiapan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa dalam jelajah pramusim ke Asia menentang Malaysia di Stadium Bukit Jalil, malam ini.Perkara itu sudah dinyatakan kepada ketua eksekutif kelab, Ivan Gazidis yang mana pengurus itu mahu masa depan kaptennya itu diselesaikan pada masa mereka berdepan Sunderland untuk aksi sulung Liga Perdana Inggeris musim ini. 
Wenger ternyata mahu mengelak situasi sama musim lalu berulang yang membabitkan perpindahan lewat Samir Nasri dan Cesc Fabregas biarpun ketika ini tiada satu pun daripada tiga kelab - Manchester City, Manchester United atau Juventus bersedia mengambil Van Persie dengan nilai £20 juta (RM98.4 juta) yang ditetapkan Arsenal.

“Kami sememangnya sentiasa bercita-cita tinggi. Itu semua sudah maklum. Kami turut bangga dengan cara kami mengendalikan hala tuju kelab ini.

“Van Persie seorang penyerang bertaraf dunia dan saya sentiasa menyokongnya. Dia berbaki kontrak semusim dan dikehendaki kelab-kelab lain, tapi kami turut mahu dia kekal di sini.

“Bagaimanapun, kami akan melakukan keputusan terbaik untuk semua. Tarikh akhir perpindahan 31 Ogos tetapi kami sendiri sudah boleh tetapkan tarikh akhir sendiri lebih awal,” kata Wenger. 
Ditanya adakah ketentuan masa depan Van Persie akan dibuat sebelum musim bermula, Wenger berkata: “Sudah tentu. Saya percaya pasaran perpindahan pemain akan berhenti sebelum musim bermula. Tapi situasi tidak akan sama seperti musim lalu kerana kami sudah memiliki skuad mantap.

“Lagipun kami sudah membeli dua penyerang, Olivier Giroud dan Lukas Podolski.”
Van Persie, 28, tidak bersama Arsenal untuk jelajah pramusim ke Asia kerana kekal berlatih di London bersama-sama Podolski, Giroud, Per Mertesacker dan Laurent Koscielny yang terbabit dalam Euro 2012, bulan lalu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan