Rabu, 11 Julai 2012

Kecergasan Bolt 100%


LONDON: Usain Bolt kini cergas dan bersedia untuk menggegar di Olimpik, kata ejen kepada jaguh pecut dunia itu, Ricky Simms.
Bolt mencetuskan kebimbangan penganjur Olimpik London serta peminat setianya apabila dia diterbangkan ke Munich bagi mendapatkan rawatan doktor, Hans-Wilhelm Muller-Wohlfahrt selepas rakan sepelatih, Yohan Blake berjaya menewaskannya dalam acara 100 dan 200 meter pada kejohanan pemilihan Olimpik.

Namun Simms mengetepikan kebimbangan kemungkinan Bolt tidak akan beraksi di London dengan menyatakan pelari berusia 25 tahun itu hanya mengalami kecederaan hamstring.
“Dia kembali normal, dia kembali menjalani latihan penuh dan dia boleh beraksi,” kata Simms.

“Tahap kecergasannya kembali normal. Masalah pada ototnya sudah pulih.” Simms mengakui Bolt mengalami kecederaan kecil itu pada kejohanan pemilihan Olimpik di Stadium Nasional di Kingston.

Namun selepas berjaya melayakkan diri ke London biarpun dihimpit kecederaan itu, pelari Jamaica itu diarahkan oleh jurulatihnya supaya pulih sepenuhnya sebelum boleh membuat persediaan rapi bagi mempertahankan emas acara 100m, 200m dan 4x100m di Olimpik.“Dia hanya mengalami sedikit kecederaan hamstring ketika pertandingan itu dan kerana itulah dia tidak berlari di tahap kemampuan sebenar,” tambah Simms.

“Dia cuma mengambil langkah berjaga-jaga. Perkara utama adalah melepasi ujian itu dan dapat bersama pasukan ke Sukan Olimpik.” - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan