Rabu, 11 Julai 2012

Wilayah Persekutuan akhirnya lunas dendam


KUANTAN - Bagaikan hukum karma, kali ini giliran Wilayah Persekutuan mengecewakan juara bertahan, Terengganu melalui penentuan tendangan penalti 5-4 setelah terikat 2-2 sehingga masa tambahan bagi menempah tiket ke separuh akhir acara bola sepak, semalam.
Seperti satu kebetulan, hajat Wilayah Persekutuan untuk melunaskan dendam mereka turut tertunai selepas tunduk kepada Terengganu pada peringkat separuh akhir di Melaka, dua tahun lalu, juga dengan angka jaringan penalti 5-4.
Mohd. Helmi Mohd. Rafi muncul wira pasukannya apabila menjaringkan gol pada sepakan penalti terakhir selepas penjaga gol Wilayah Persekutuan, Muhammad Syahmi Ramli bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan Mohamad Hasrol Syawal Ash'ari.
Penyerang Wilayah, Syazuan Hazani meletakkan pasukannya mendahului 2-0 pada separuh masa pertama dengan jaringan pada minit ke-3 dan 30.
Bagaimanapun, kedudukan itu langsung tidak membunuh semangat perjuangan Terengganu yang bangkit pada separuh masa kedua.
Mohd. Faidzol Hazren memanfaatkan kelonggaran pertahanan Kuala Lumpur pada minit ke-59 untuk menanduk masuk gol pertama Terengganu berpunca daripada situasi sepakan sudut.
Ketika terdesak mencari gol kedua, malang buat Terengganu terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Wan Muhammad Firdaus Wan Demi dilayangkan kad merah.
Ketua pasukan, Muhammad Fakhrurazi Musa menyelamatkan sisa-sisa perjuangan skuad Penyu dengan jaringan penyamaan pada masa kecederaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum pemenang ditentukan melalui penentuan sepakan penalti.
Jurulatih Wilayah Persekutuan, Razip Ismail, berasa cukup lega dengan kemenangan berkenaan walaupun anak-anak buahnya memilih jalan sukar untuk mengalahkan Terengganu.
''Selepas mendahului 2-0, pemain agak leka dan sering memberikan peluang kepada lawan melakukan sepakan percuma dan kita bernasib baik boleh menang walaupun pemain memilih laluan sukar.
''Mengenai situasi sepakan penalti, saya pada mulanya tidak berapa yakin boleh menang kerana pada sesi latihan, aksi semua pemain termasuk penjaga gol tidak begitu memberangsangkan namun rezeki memang memihak kepada kami kami kali ini," katanya.
Perak akan menanti Wilayah pada saingan separuh akhir nanti selepas menang ke atas Perlis 4-3 menerusi sepakan penalti seri tanpa jaringan manakala Sabah menewaskan Selangor 3-2.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan