Rabu, 11 Julai 2012

Rajagobal umum skuad lawan kelab EPL


KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal telah menyenaraikan 27 pemain yang akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dan Manchester City bulan ini.
Senarai 27 pemain tersebut menyaksikan lima pemain dipanggil semula termasuk Baddrol Bakhtiar, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri (Kedah), Asraruddin Putra Omar, Norazlan Razali (Selangor), Muslim Ahmad (Terengganu) dan Yong Kuong Yong (Felda United).
Turut dipanggil bagi memantapkan pasukan kebangsaan ialah pemain remaja yang menonjol di kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun dan juga pemain pasukan Sabah, Rozaimi Abd Rahman, manakala rata-rata pemain lain adalah skuad yang beraksi dalam aksi persahabatan antarabangsa bulan lepas menentang Filipina dan Singapura.
Rajagobal masih mengekalkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan) dan Farizal Marlias (Negeri Sembilan) manakala Mohd. Sharbinee Allawee Ramli (Terengganu) tidak disenaraikan kali ini.
Rangkaian pertahanan pula bakal diketuai Aidil Zafuan Abd Razak (ATM) diikuti rakan sepasukannya Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Azmi Muslim manakala pemain pertahanan lain ialah Bunyamin Umar (Selangor) S. Subramaniam (Kelantan) Faizal Muhamad (Terengganu) Mahalli Jasuli dan Fadhli Mohd. Shas (Harimau Muda A).
Ketua pasukan, Safiq Rahim (Selangor) terus diberi kepercayaan mengemudi barisan pemain tengah yang turut menyaksikan penyenaraian Amar Rohidan (Kedah), Shahurain Abu Samah, S. Kunanlan (Negeri Sembilan), Shakir Shaari (Kelantan) dan Mohamad Ashaari Samsudin (Terengganu).
Penyerang Pelita Jaya, Safee Sali akan mengetuai rangkaian serangan yang turut dibarisi Ahmad Shakir Md. Ali (Negeri Sembilan), Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan) Azamuddin Mohd. Akil dan (Pahang).
Sementara itu, lima pemain berada dalam senarai menunggu di mana mereka akan dipanggil sekiranya pemain utama yang disenaraikan mengalami kecederaan.
Kelima-lima pemain tersebut ialah penjaga gol Mohd. Nasril Nourdin (Perak), pertahanan, Mohd. Rizal Fahmi Rosid (Kelantan) dua pemain Terengganu, Abdul Manaf Mamat dan Mazlizam Mohamad serta pemain tengah Harimau Muda A.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan