Rabu, 11 Julai 2012

Maybank janji beri sokongan


KUALA LUMPUR - Meskipun ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sudah mengumumkan mengenai pelan persaraannya pada 2014, ia tidak menjejaskan penajaan Maybank kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), jamin Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Tahun lalu, Maybank memeterai perjanjian penajaan enam tahun bersama BAM, iaitu RM6 juta setahun disumbangkan pada tahun pertama dan RM7 juta setahun bagi lima baki tahun berikutnya. Ia adalah perjanjian terbesar pernah diterima badan badminton itu dan akan berjalan sehingga 2016.
Namun, selepas melihat trend badminton Malaysia yang terlalu menyandarkan harapan kepada Chong Wei untuk melakar kejayaan, Abdul Wahid ditanya oleh pemberita, apakah Maybank tetap akan meneruskan komitmennya terhadap BAM sekalipun selepas bekas jaguh No. 1 dunia itu bersara.
"Maybank menyokong program pembangunan BAM secara keseluruhan dan kami akan tetap bekerjasama untuk membantu membangunkan badminton negara, bukan tertumpu kepada pemain tertentu saja.
"Kami akan bekerjasama untuk membangunkan sukan ini dari peringkat akar umbi, sistem di sekolah hinggakan kepada pembangunan remaja, ini sumbangan kami kepada badminton negara,'' ujar Abdul Wahid selepas majlis makan malam meraikan skuad badminton yang akan berlepas ke Sukan Olimpik di Menara Maybank, kelmarin.
Pada majlis tersebut juga, Maybank menunjukkan sokongan mereka kepada kempen skuad badminton di Olimpik dengan menghadiahkan sebatang raket yang memiliki 44,215 nama dan tandatangan peminat di seluruh Malaysia kepada Chong Wei, yang mewakili lima pemain negara yang lain.
Raket istimewa itu, yang membawa simbol suara rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat diharap dapat menyemarakkan semangat para pemain untuk memburu pingat emas pertama Olimpik apabila acara badminton memulakan kempen dari 28 Julai hingga 5 Ogos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan