BARCELONA: Sengketa antara Barcelona dan Real Madrid semakin hangat selepas kelab Catalan itu mempertikai keputusan Persekutuan Bola sepak Sepanyol (RFEF) membatalkan hukuman penggantungan dua perlawanan ke atas jurulatih Real, Jose Mourinho kerana mencucuk mata pembantu pengurus Barca, Tito Vilanova.
Pertikaian terhadap keputusan RFEF melepaskan Mourinho pasti menyebabkan sengketa dua seteru La Liga itu berlanjutan ke musim 2012-13 yang bermula bulan depan.
“Kami sangat marah, tidak setuju dengan keputusan RFEF,” ulas jurucakap Barca, Toni Freixa selepas mesyuarat lembaga di ibu negara Catalan, kelmarin.
“Sikap agresif seperti Mourinho tidak sepatutnya dilepaskan tanpa hukuman,” kata Freixa yang menganggap tindakan pengendali kelahiran Portugis itu umpama ‘pengkhianat’’, ‘amat serius’ dan sudah ‘disaksikan seluruh dunia’.
Barca percaya keputusan RFEF yang dilaksana sebagai pengampunan kepada pemain dan jurulatih akan merosakkan imej bola sepak Sepanyol dan menggalakkan tindakan lebih agresif.
Mourinho yang juga bekas pembantu jurulatih Barca digantung selepas menyerang Vilanova yang mengambil alih skuad utama selepas ketiadaan Pep Guardiola dari belakang pada perlawanan Piala Super, Ogos lalu.
Hukuman itu dibatal Presiden RFEF, Angel Maria Villar yang secara tradisi memaafkan sesetengah pemain dan jurulatih selepas berjaya dipilih semula.
Beliau dipilih semula tanpa dicabar buat kali ketujuh bagi tempoh empat tahun lagi pada Februari dan pengampunan terbarunya diumum Setiausaha Agung RFEF pada perhimpunan agung di Madrid, Selasa lalu.
Freixa berkata, Barca pada mulanya menimbang untuk mengemukakan bantahan rasmi namun selepas mengadakan perbincangan dengan pemain dan staf kejurulatihan, mereka memutuskan untuk menyerahkan kepada RFEF untuk mengendalikan kes itu. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan