LONDON - Pengurus baharu Liverpool, Brendan Rodgers mengakui bahawa beliau memerlukan tempoh beberapa tahun dalam usaha untuk memulihkan semula reputasi skuad The Reds yang tercalar.
Rodgers menyuarakan kenyataan itu selepas pemilik Liverpool mendedahkan hasrat untuk melakukan rombakan secara besar-besaran bagi membantu kelab yang berpangkalan di Stadium Anfield itu melakar kejayaan.
Rombakan itu termasuk meminjamkan penyerang, Andy Caroll ke kelab lain dan membawa masuk beberapa muka baharu ke Stadium Anfield.
Dua pemain iaitu penyerang Itali, Fabio Borini dan Clint Dempsey (Fulham) dijangka akan menjadi antara pemain baharu untuk menyarung jersi skuad The Reds.
Bagaimanapun, Rodger berkata, langkah tersebut masih belum cukup untuk memberi jaminan terhadap transformasi yang ingin dilakukan Liverpool.
Sebaliknya beliau menjelaskan bahawa ia memerlukan tempoh yang panjang.
"Cabaran kali ini cukup besar. Jadi, kita tidak boleh terlalu berharap.
"Namun, saya yakin Liverpool mampu menjadi antara kuasa besar bola sepak dunia sekali lagi.
"Ia sudah pasti akan mengambil masa untuk mencapainya. Sama ada ia akan berlaku ketika di bawah kendalian saya atau sebaliknya, saya tidak pasti.
"Begitupun, saya akan terus berjuang selagi saya bergelar pengurus Liverpool. Saya harap, saya boleh mengubah sejarah bola sepak kelab ini," kata Rodgers. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan