LONDON - Andre Villas-Boas sedar beliau memiliki peluang yang lebih besar bersama Tottenham Hotspur.
Begitupun, bekas pengendali Porto itu menafikan bahawa misi beliau adalah untuk memulihkan reputasi yang sudah tercalar selepas dipecat daripada jawatan pengurus Chelsea, Mac lalu.
Dalam masa yang sama, pengendali kelahiran Portugal itu turut menuduh pemilik Chelsea, Roman Abramovich memungkiri janjinya musim lalu.
Berang dengan dakwaan bahawa misinya di Stamford Bridge menemui kegagalan, Villas-Boas, 34, tidak dapat menyembunyikan perasaan marah selepas Abramovich memecatnya secara terburu-buru.
"Saya menghormati keputusan pemilik Chelsea tetapi saya tidak akan menerimanya," kata Villas-Boas ketika bertemu pemberita buat pertama kalinya di kompleks latihan baharu Spurs di utara London kelmarin.
"Saya bertanya (Abramovich) adakah beliau yang memecat saya kerana beliau merupakan individu yang membawa saya ke kelab itu dan beliau sendiri tidak menepati janjinya.
"Saya tidak menganggap kegagalan itu berpunca daripada saya, saya tidak bersetuju dengan pendapat kamu.
"Ia bukan kegagalan seorang individu, saya tidak boleh menerimanya. Ia adalah kesilapan yang telah saya lakukan dan saya belajar daripadanya tetapi keputusan untuk menamatkan projek itu bukan saya yang tentukan, ia adalah keputusan pemilik Kelab Bola Sepak Chelsea," katanya.
Sementara itu, tindakan Spurs memecat bekas pengurusnya, Harry Redknapp pula telah mengejutkan ramai pihak.
Redknapp berjaya membimbing kelab itu menduduki tempat keempat dalam Liga Perdana musim lepas tetapi tidak layak ke saingan Liga Juara-Juara selepas skuad The Blues merampas slot keempat itu selaku Juara Eropah.
Bagaimanapun, keputusan menggantikan Redknapp dengan seorang pengendali kurang berpengalaman telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat Spurs.
"Ia bukan misi untuk memperbaiki reputasi, ia adalah misi untuk meletakkan Tottenham ke landasan sebenar bagi memenangi gelaran.
"Saya rasa, dimensi kelab telah menggambarkan segala-galanya.
"Ia adalah satu peluang yang besar buat saya dan saya berasa sangat bertuah kerana diberi peluang ini. Ia sangat menakjubkan apabila datang ke kelab ini dengan keazaman yang tinggi selepas mengalami kegagalan," katanya.
Selepas Villas-Boas dipecat, Roberto di Matteo yang mengambil alih jawatan itu telah menghadiahkan kejuaraan berganda iaitu Piala FA dan Liga Juara-Juara kepada Chelsea meskipun sekadar menghuni tangga keenam dalam kempen Liga Perdana England.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan