DUA wakil Malaysia, Malaysia Biru dan Kuning bermula garang pada Kejohanan Bola Sepak Piala Yamaha ASEAN Bawah 13 tahun yang membuka tirainya di Stadium Petaling Jaya semalam.
Pada aksi pembukaan Kumpulan A, Malaysia Biru menewaskan Vietnam 3-0.
Malaysia Kuning pula mengejutkan juara bertahan, Thailand 2-1 pada saingan peringkat Kumpulan B.
Kemenangan tersebut memang sesuatu yang menakjubkan buat dua wakil negara yang tampil dengan aksi tersendiri pada perlawanan tersebut.
Malaysia Biru tampil garang seawal minit pertama dengan memaksa Vietnam selaku juara edisi 2008 bertahan sekali gus memaksa lawan mereka hilang punca untuk melakukan serangan balas.
Buruan gol skuad Malaysia Biru bermula pada minit ke-45 apabila dihadiahkan sepakan penalti dan selepas itu mereka ternyata sukar untuk disekat.
Aqil Danish Azman mudah menyempurnakan sepakan penalti tersebut yang menyaksikan penjaga gol Vietnam, Vu Huu Minh menerpa ke arah lain.
Selepas itu, gol kedua Malaysia Biru hadir pada minit ke-60 menerusi Haiqal Iskandar yang mudah menolak masuk bola hantaran Akil.
Pemain gantian, Aiman Ariff menambah derita Vietnam apabila gerakan solonya pada minit-minit terakhir perlawanan berkesudahan dengan jaringan mudah bagi memberi kemenangan mutlak 3-0 kepada Malaysia Biru.
Pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan B, Malaysia Kuning juga tampil dalam kelas tersendiri untuk memusnahkan harapan Thailand.
Malaysia Kuning mendahului lawan seawal minit kelapan menerusi jaringan Nazirul Hasif Mailang yang melepaskan sepakan voli tanpa dapat diselamatkan oleh penjaga gol Thailand, Patcharaphon Kaewkham.
Begitupun, Thailand kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-40 menerusi Yuthapichai Lertlum yang bertindak balas selepas berlaku kesilapan di depan pintu gol Malaysia Kuning.
Usaha Malaysia Kuning untuk meraih kemenangan akhirnya berjaya ledakan Nurfais Johari daripada luar kotak penalti terus menerjah gawang lawan.
Kemenangan tersebut dilihat memudahkan tugas skuad negara untuk melangkah ke pusingan separuh akhir kejohanan ini.
AKSI antara Malaysia Biru (kiri) dengan Vietnam pada aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Petaling Jaya semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan