Selasa, 10 Julai 2012

Sukma: Chai muncul wira acara wushu Nanquan

KUANTAN - Chai Chwan Hau dari Melaka membuka tirai acara wushu hari ini dengan pungutan emas menerusi acara nanquan lelaki, di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang di sini.
   
Beliau memperoleh 9.57 mata mengatasi pencabar terdekatnya Andy Chan dari Sarawak dengan beza 0.01 mata, manakala gangsa menjadi milik Liew Lik Kee dari Sarawak dengan 9.53 mata.
   
Chai, 19, bagaimanapun kurang berpuas hati dengan prestasinya dan merasakan mampu melakukan persembahan yang lebih baik.
   
"Memang saya mensasarkan emas untuk acara ini, namun saya rasa boleh buat lebih bagus lagi. Andy juga telah melakukan persembahan yang baik cuma mungkin nasib saya lebih baik.
   
"Saya menghormati beliau sebagai 'rival' dan kami selalu bersaing dalam kejohanan-kejohanan kebangsaan," katanya kepada Bernama selepas pertandingan.

Chai akan beraksi dalam dua lagi acara selepas ini iaitu Nandao dan Nangun serta mensasarkan emas bagi kedua-dua acara itu.
   
Anak muda kelahiran Batu Berendam itu datang dari keluarga penggiat wushu dan merupakan sepupu kepada juara Asia Chai Fong Ying.
   
Beliau mula menceburi wushu sejak berusia sembilan tahun dan kemenangan itu merupakan emas Sukma pertama baginya, setelah pulang tangan kosong pada penyertaan sulung di Melaka dua tahun lepas.
   
Chai turut mengintai peluang untuk menyertai pasukan kebangsaan selain berhasrat mewakili negara ke Sukan Sea.
   
"Buat masa kini saya belum berpeluang (menyertai skuad kebangsaan) kerana sudah ada dua orang atlet nanquan dalam skuad kebangsaan," katanya yang meraih perak pada Kejohanan Wushu Remaja Asia di Beijing, China tahun lepas.
   
Sementara itu Negeri Sembilan menguasai acara nanquan wanita apabila atlet pasukan itu Tan Cheau Xuen dan Wong Yik Yan masing-masing merangkul emas dan perak.
   
Saw Chai Hui dari Pulau Pinang membawa pulang gangsa dengan 9.35 mata. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan