Rabu, 11 Julai 2012

Pedrosa kuasai Sachsenring


SACHSENRING - Dani Pedrosa memenangi perlumbaan MotoGP Grand Prix Jerman tatkala rakan sepasukannya Casey Stoner, yang bermula dari petak utama terkeluar daripada saingan selepas terlibat dalam kemalangan ketika pusingan terakhir di Sachsenring, semalam.
Pelumba Sepanyol itu meraih gelaran pertama musim ini, mengetepikan rakan senegara, Jorge Lorenzo di tempat kedua manakala pelumba Itali, Andrea Dovizioso meraih tempat ketiga.
Sementara itu, pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin menunjukkan tunggangan mantap apabila menduduki tempat keenam saingan Moto3 walaupun bermula di petak ke-20. Pelumba AirAsia-Sic-Ajo itu menduduki tempat keenam dalam senarai keseluruhan pelumba dengan mengumpul 59 mata.
Saingan MotoGP semalam menyaksikan Stoner dan Pedrosa saling bersaing sesama sendiri untuk mendahului perlumbaan namun tekanan yang dihadapi kedua-duanya menyaksikan Stoner terbabas seterusnya membolehkan Pedrosa muncul sebagai juara.
Keadaan tersebut memberikan kelebihan buat Lorenzo yang mendahului kedudukan keseluruhan dengan kelebihan empat mata dan menganggap perlumbaan kali ini bergantung kepada nasib yang menyebelahinya.
"Semua boleh berubah dalam dua perlumbaan sahaja. Di Assen kami tidak meraih sebarang mata dan amat kecewa tetapi hari ini nasib kami baik manakala Casey pula agak malang kerana terlibat dalam kemalangan.
Saingan Moto2 pula menyaksikan pelumba Sepanyol, Marc Marquez muncul juara seterusnya mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu keseluruhan.
Pelumba Suter itu sudah memenangi lapan perlumbaan musim ini manakala tempat kedua menjadi milik pelumba Finland, Mika Kallio (Kalex) manakala pelumba FTR, Alex De Angelis meraih tempat ketiga. - REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan