Jumaat, 13 Julai 2012

P. Pinang sekat pesta Sarawak, Selangor


KUANTAN - Pulau Pinang menyekat Sarawak dan Selangor daripada terus menguasai acara boling apabila gandingan beregu campurannya, Yam Khai Dong-Nur Amirah Auni Azman muncul juara, kelmarin.
Acara perseorangan dan beregu menyaksikan dominasi dua negeri itu apabila masing-masing berkongsi empat pingat emas yang ditawarkan pada dua hari pertama pertandingan.
Namun, Khai Dong-Nur Amirah memastikan negeri Pulau Mutiara itu, yang sentiasa melahirkan jagoan bertaraf dunia seperti Adrian Ang dan Esther Cheah, tidak ketinggalan dalam saingan perebutan gelaran raja boling pada Sukan Malaysia kali ini.
Pasangan Pulau Pinang itu mengumpul 2,549 jatuhan pin untuk mengejutkan Muhd. Rafiq Ismail-Radin Nur Najwa Arifah Radin Dzulfakar (2,532) yang merupakan anggota skuad pelapis kebangsaan.
Pasangan Johor, Khairul Diaz Din-Nurul Atiqah Ahmad (2,512) berpuas hati dengan gangsa.
Acara beregu campuran tergendala selama dua jam akibat masalah mekanikal dan mengakibatkan ia berlanjutan sehingga lewat malam, kelmarin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan