LOS ANGELES: Tyler Clary mengecam rakan sepasukan dalam skuad renang Amerika Syarikat, Michael Phelps kerana menunjukkan etika kerja yang teruk tapi yakin juara Olimpik 14 kali itu mampu mempamerkan persembahan jauh lebih baik andai berlatih lebih gigih di kolam renang.
Clary yang membuat komen itu kepada akhbar Press-Enterprise di bandar asalnya di Riverside, California berkata, dia memerhatikan Phelps selama setahun di Universiti Michigan empat tahun lalu.
“Tahap persediaannya tidak memuaskan,” kata Clary. “Dia bagaikan seorang perenang yang tidak mahu bertanding. Mereka bercakap mengenai sasaran pingat serta persediaan tapi saya tahu ia berbeza.” Bagaimanapun, Clary mungkin melihat Phelps sewaktu dia mengharungi saat sukar, terutama selepas menang lapan pingat emas di Olimpik Beijing apabila dia mula menambah berat badan dan tidak bermotivasi.
“Saya bekerja lebih keras menyebabkan saya lebih menghargai semua pencapaian yang sudah dikecapi.
“Pada hari saya menewaskannya, ia pasti menjadi kenangan paling indah kerana memberikan kepuasan penuh dan satu-satunya perkara yang lebih baik adalah memecahkan rekod dunia.” Clary tidak tersenarai dalam skuad Olimpik untuk acara 400 meter rampaian individu selepas tewas kepada Phelps dan Ryan Lochte tapi menduduki tempat kedua di belakang Phelps dalam 200m kuak kupu-kupu dan 200m kuak lentang untuk layak ke London bagi kedua-dua acara itu.
“Amat memalukan apabila dia tidak perlu bekerja keras bagi mencapai kemenangan itu. Sungguh malang kerana terlalu kerap kita melihat atlet berbakat berbakat besar enggan berlatih bersungguh-sungguh. “Anda hanya perlu memantau satu sesi latihan untuk melihat perbezaan etika kerja. Jika Phelps sedia bekerja sekeras yang saya lakukan, bayangkan apa yang mampu dicapainya.” - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan