Khamis, 12 Julai 2012

'Libasan' perenang Bujang Senang


KONTINJEN Sarawak 'bermaharajalela' apabila membolot lima daripada lapan pingat emas yang ditawarkan dalam acara renang di Kolam Renang Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan semalam.
Lebih manis, tiga daripada lima kilauan emas itu turut memperbaharui rekod lama Sukma sebelum ini iaitu bagi acara 400m gaya bebas lelaki serta acara rangkaian 4 x 200m gaya bebas lelaki dan wanita.
Perenang Sarawak, Vernon Lee jelas gagal dicabar perenang lain dalam acara 400m gaya bebas lelaki apabila mencatat masa 3:58.65 saat, sekali gus memadam rekod lama iaitu 4:02.11s milik perenang Perak, Kevin Yeap pada Sukma 2010 di Melaka.
Namun, ia masih jauh daripada rekod kebangsaan milik jagoan renang negara, Daniel Bego (3:53.99s) pada Sukan SEA 2009 di Laos.
"Sebaik berjaya mencatat masa terpantas pada peringkat saringan (4:13.67s), keyakinan saya semakin bertambah di final.
"Tambahan pula, saya tidak begitu tertekan kerana dapat beraksi di sebelah rakan sepasukan, Welson Sim (pingat perak). Saya hadiahkan kejayaan ini kepada seluruh warga Sarawak," katanya.
Selain kejayaan Vernon, Sarawak juga unggul dalam acara rangkaian 4x200m gaya bebas lelaki dan wanita apabila turut melakar rekod baharu.
Untuk rekod, rangkaian perenang lelaki Sarawak berjaya melakar catatan masa 7:50.29s, sekali gus memadam rekod lama milik Wilayah Persekutuan iaitu 7:54.20s ketika Sukma dua tahun lepas.
Perenang-perenang wanita Sarawak pula berjaya mencatat masa 8:40.95s, hanya 0.09s lebih pantas daripada rekod lama milik kuartet Wilayah Persekutuan yang dilakar ketika Sukma Terengganu 2008.
Dua lagi emas Bujang Senang semalam disumbangkan oleh Angela Chieng (400m gaya bebas wanita) dan Hii Siew Siew dalam acara 100m kuak kupu-kupu wanita.
Namun, Siew Siew gagal memecahkan rekod lama Sukma apabila sekadar mencatat 1:02.60s, kurang 0.78s daripada rekod lama milik Marellyn Liew pada 2008.
Rekod kebangsaan masih dipegang Marellyn iaitu 1:01.04s pada temasya Sukan SEA Laos 2009.
Untuk rekod, ia merupakan emas kedua Siew Siew pada temasya kali ini selepas melakar rekod baharu Sukma dalam acara 200m kuak kupu-kupu wanita kelmarin.
Dalam pada itu, lain-lain pemenang pingat emas semalam ialah Chi Chia Kian (Kedah - 100m kuak kupu-kupu lelaki), Nadia Adrianna (Selangor - 200m kuak dada wanita) dan Wong Fu Kang yang mengungguli acara 200m kuak dada lelaki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan