Rabu, 11 Julai 2012

Alex tekad balas kepercayaan Rajagopal

PENYERANG sensasi Pahang, Azamuddin Akil atau Alex jelas teruja selepas namanya tersenarai untuk menyertai sesi latihan dan pemilihan skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal.

Ini kerana, pasukan Harimau Malaya dijadualkan menghadapi pertemuan persahabatan dengan kelab elit Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dan Manchester City di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 dan 30 Julai ini.

“Saya gembira apabila mendapat panggilan menyertai pasukan kebangsaan untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa ini.

“Kepercayaan yang diberikan jurulatih akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan saya berazam untuk merebut slot di bahagian hadapan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Namun begitu, anak jati Kuala Lipis, Pahang itu perlu bersaing hebat dengan pemain handalan seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan Ahmad Shakir Ali serta penyerang muda Sabah meningkat naik, Rozaimi Abdul Rahman.

“Saya tak gusar kerana ini menunjukkan petanda saingan sihat di posisi penyerang. Malah, bagus juga untuk saya mempertajamkan mutu permainan,” katanya.

Bagaimanapun, Alex hanya akan melaporkan diri bersama skuad kebangsaan selepas tamat perlawanan play-off Piala Malaysia 2012 bersama pasukan Tok Gajah bulan ini.

Pahang gagal ke layak saingan Liga Super 2013 selepas pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan kejuaraan Liga Perdana baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan